KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan merangka usaha-usaha yang lebih mapan pada masa hadapan susulan laporan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia jatuh 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 berbanding 73, tahun lalu.

Menterinya, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukannya akan menghadam laporan berkenaan dan beliau menerima laporan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) dengan hati terbuka. 

"Banyak yang perlu dimuhasabah, dalam mengimbangi usaha menjamin kebebasan media dan pada masa yang sama melawan fitnah serta sebaran maklumat palsu," katanya di laman X.


Kedudukan Malaysia menurun 34 anak tangga dengan mencatat 52.07 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 62.83 mata.

Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua dipintas oleh Thailand yang berada pada tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).

Penurunan kedudukan Malaysia antara lain dikaitkan dengan tindakan kerajaan yang proaktif dalam menyekat hantaran atau perkongsian yang menyentuh sensitiviti kaum, agama serta raja, selain kritikan terhadap kerajaan.

Menurut analisis RSF, kerajaan mengenakan tekanan politik yang besar untuk menghalang media daripada menangani subjek sensitif atau mengkritik ahli politik dan pegawai kerajaan.